Friday, 25 April 2014

19:17
masjid-L-650x350Kuala Lumpur - Satu siri protes mula diadakan di sekitar ibu negara pada Jumaat, menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada Sabtu.
Sejurus selepas solat Jumaat, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) bersama satu kumpulan dikenali sebagai Hizbut Tahrir Malaysia mengadakan demonstrasi di hadapan Masjid Negara.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol, walaupun mereka bangga Obama akan berkunjung ke universiti berkenaan, namun ia tidak bermakna semua dasar yang dilaksanakan Obama diterima semua pihak.
“Kami mengalu-alukan ketibaan Obama sebagai tetamu asing yang amat dihormati dan kami berbesar hati beliau memilih UM sebagai lokasi perjumpaan awam dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kami menerima semua dasar yang dilaksanakannya, khasnya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” katanya kepada The Rakyat Post.
Jelasnya, satu lagi sebab mereka mengadakan demonstrasi kerana dasar berat sebelah Washington, khasnya berkaitan isu di Timur Tengah.
“AS tidak berperikemanusiaan. Dasar luar mereka kononnya mendukung demokrasi, tetapi apabila menyentuh mengenai pergolakan dan rampasan kuasa di Timur Tengah, mereka hanya mendiamkan diri,” katanya.

Dia turut kecewa dengan tindakan universiti membekukan semua aktiviti dalam kampus, termasuk perkhidmatan bas atas faktor keselamatan.
Dalam pada itu, Hizbut Tahrir menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Masjid Negara selepas solat Jumaat, bagi membantah kunjungan Obama ke Masjid Negara.
Sementara itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin pula mengetuai perarakan dari Menara Tabung Haji di Jalan Ampang menuju Kedutaan AS di Jalan Tun Razak.
Mereka mengadakan bantahan itu berikutan kegagalan Washington menangani banyak isu penting di seluruh dunia, khasnya di Timur Tengah, selain menimbulkan banyak masalah kepada pelbagai pihak dan negara.
“Buktinya adalah tindakan negara itu terhadap keadaan di Palestin. Ini sebabnya kami memprotes, kerana apa yang mereka lakukan tidak betul,” katanya, lapor The Rakyat Post.

0 comments:

Post a Comment